NADI Tabuan Desa

Kementerian Pengangkutan Malaysia dengan kerjasama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang secara percuma pada 10 dan 11 Februari 2025 sempena perayaan Thaipusam. Inisiatif ini bertujuan memudahkan pergerakan pengguna, khususnya penganut Hindu yang menuju ke Batu Caves bagi menunaikan upacara keagamaan, selain menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dan mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Perkhidmatan percuma ini akan beroperasi dari pukul 12.00 tengah malam hingga 11.59 malam di semua laluan KTM Komuter Lembah Klang. Pengguna boleh menikmati tambang percuma ini dengan menggunakan mod pembayaran tanpa tunai seperti aplikasi KTMB Mobile (KITS), Kad Komuter Link, Kad Touch ‘n Go, kad debit atau kredit daripada bank tempatan. Selain itu, tiket QR fizikal juga boleh diperoleh secara percuma di kaunter tiket sepanjang tempoh 10 hingga 11 Februari. Pengguna hanya perlu mengimbas tiket di pintu automatik (ACG) bagi mengakses perkhidmatan ini.

Seramai 500,000 pengguna dijangka akan memanfaatkan inisiatif ini, dengan kemuncak perjalanan dijangka berlaku pada 11 Februari. Ini adalah peluang terbaik untuk orang ramai menikmati perjalanan yang lebih selesa dan lancar sempena Thaipusam.